Berakhirnya Riwayat Penderhaka Pertama Langit!!!!!!
Kenapa aku pilih untuk tulis tentang majalah Mastika kali ni? Sebab aku ada benda menarik yang nak dikongsikan hasil pembacaan aku daripada majalah ni. Ada yang kata, "kenapa kamu baca mastika? Itu majalah sampah la, tak berfaedah langsung!!!" Aku yang dengar pun agak terkilan bila dengar macam tu tapi ramai yang tak tahu kebaikan majalah mastika ni. Ini adalah satu kisah yang aku ambil daripada majalah "sampah" ni... :
Sangkakala terakhir ditiupkan dan semua penduduk dunia pun mati. Allah menitahkan Malaikat Izrail turun ke bumi untuk menghabiskan nyawa iblis laknatullah. Izrail pun turun dengan rupa yang amat menakutkan. Apabila Izrail sampai kepada iblis, lalu diherdiknya iblis sehingga pengsan iblis laknatullah itu. Sebaik sahaja iblis tersedar malaikat Izrail mengherdik iblis sekali lagi. "Kini aku rasakan kepadamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya orang yang telah engkau sesatkan seluruh abad sepanjang engkau hidup. Inilah hari kematianmu! Ke mana lagi engkau hendak lari wahai iblis?" herdik Izrail.
Iblis berasa amat takut lalu melarikan diri sehingga ke Timur dunia. Namun sekelip mata sahaja Izrail muncul di hadapan matanya. Iblis cuba melarikan diri dengan menyelam ke dalam laut pula. Namun sekali lagi Izrail dapat menemuinya dengan sekelip mata. Berlarilah iblis mengelilingi dunia namun usahanya sia-sia. Akhirnya iblis kepenatan dan berputus asa. Iblis berlari mendapatkan kubur Nabi Adam a.s. "Wahai Adam!!! Disebabkan engkaulah aku ditimpa laknat Allah dan dihalau dari syurga. Aduhai sekiranya aku tidak dijadikan alangkah baiknya," ratap iblis sambil disaksikan Izrail yang sudah bersedia untuk mencabut nyawanya.
Iblis bertanya kepada Izrail: " Apa minuman dan seksa yang akan dikenakan kepadaku?" Izrail pun menjawab dengan suara bak halilintar: "Engkau akan diberi minuman daripada neraka Ladha. Diseksa dengan seksaan yang berlipat kali ganda lebih pedih daripada ahli neraka lain yang telah engkau sesatkan!"
Iblis terlalu takut sehingga berguling-guling dan meraung sekuat-kuatnya. Iblis berlari pula berulang-alik dari timur ke barat kerana kehilangan punca. Maka selepas itu turunlah pula malaikat Zabaniyyah yang bertanggungjawab menjaga neraka untuk membantu Izrail. Zabaniyyah pun menghalang iblis dengan tombak-tombak berapi daripada neraka Ladha. Selepas itu tubuh iblis ditikam dengan tombak berapi itu dari serata arah. Tersungkurlah iblis dalam keadaan sakaratulmaut.
Kemudian datanglah Adam a.s dan Siti Hawa untuk melihat sendiri keadaan iblis yang telah menyesatkan mereka berdua sehingga tercampaknya mereka daripada syurga. Setelah mendapati iblis dalam keadaan nazak, Nabi Adam a.s dan Siti Hawa pun berdoalah kepada Allah: "Ya Allah Ya Tuhan kami. Sesungguhnya dikau telah menyempurkan nikmatMu terhadap kami!" Maka setelah itu berakhirlah riwayat penderhaka pertama langit.
Begitulah sedikit sebanyak kisah yang mampu aku kongsikan hasil pembacaan aku dalam majalah Mastika ni. InsyaAllah selepas ini, banyak lagi kisah-kisah menarik yang ingin aku kongsikan daripada majalah no. 1 Malaysia ni. Kisah di atas ambillah pengajaran dan ingat selama mana pun kita hidup kita pasti akan merasai mati kerana itulah tujuan kita hidup di dunia ni, untuk mati. Tapi bagi muslim, hidup kita bukan hanya untuk mati tapi sebagai ladang bekalan untuk kita bercucuk tanam bagi dibawa ke akhirat kelak. Seperti iblis, hidupnya sangat panjang bermula dari sebelum terciptanya Adam a.s sehinggalah dunia ini berakhir. Namun iblis hanya mensia-siakan nyawanya yang panjang itu untuk melakukan kemungkaran kepada Allah tanpa sedikit pun rasa mahu bertaubat. Ingat jangan jadi seperti iblis, manfaatkan masa kita hidup ini untuk menambahkan lagi ketakwaan kita kepada Allah dan berdakwah di jalanNya. Ingat juga, hidup di dunia ini hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal selama-lamanya. Selamat menunaikan ibadah puasa 1434 Hijrah!! Kalau ada umur yang panjang insyaAllah kita akan berjumpa dalam entri ramadhan pulak nanti. Assalamualaikum, terima kasih kerana membaca, wallahua'lam. ^_^
Sumber: Mastika, Kitab Tanbihul Ghafilin
1 comment:
terima kasih atas senyumannya..sedekah tu ^_^
Post a Comment