THE BEST GUARDIAN AND PROTECTOR IS ONLY ALLAH
Banner created with MyBannerMaker.com

Pages

Check This Out!!

March 25, 2013

Sheikh Shalah Syahadah Pejuang Palestin

Sheikh Shalah Syahadah Pejuang Palestin





Assalamualaikum, alhamdulillah hari ini aku masih lagi diberi kesempatan untuk menulis sesuatu dalam blog ini. Entri kali ini sedikit mengambil masa untuk disiapkan kerana aku tak mahu menulis sesuatu yang tidak benar mengenai beliau. Maklumat mengenai beliau juga agak terbatas dan aku juga kekurangan gambar untuk dimuatkan dalam entri kali ini. Tapi akhirnya setelah melakukan pencarian bersama pakcik Google, inilah dia kisah mengenai Sheikh Shalah Syahadah.
Mesti korang tertanya-tanya siapa dia Sheikh Shalah Syahadah ini. Pada mulanya aku sendiri tidak tahu siapakah beliau melainkan seorang pejuang pembebasan Palestin. Namun setelah aku selidik, beliau sebenarnya adalah pengasas kepada Brigade Izzuddin Al-Qassam iaitu salah satu badan ketenteraan pembebasan Palestin yang paling ditakuti oleh pengganas Zionis. Brigade Al-Qassam ini menjadi kunci kekuatan utama kekalahan tentera Zionis dalam perang lapan hari penjajah Israel ke atas Gaza yang berlaku pada awal tahun ini. Kekuatan pasukan ketenteraan ini telah memaksa Israel agar mengadakan gencatan senjata lebih awal setelah mereka mengganas selama lapan hari dan mengorbankan seramai 161 rakyat Palestin.
Sheikh Shalah Syahadah atau nama sebenarnya Shalahuddin Mustafa Muhammad Ali Syahadah dilahirkan di Yafa, sebelah utara Gaza pada 24 Februari 1952 dan keluarganya berpindah ke Gaza setelah Israel menduduki kota itu pada tahun 1948. Beliau menyelesaikan persekolah beliau di Sekolah Tinggi Kesejahteraan Sosial di Iskandariah Mesir. Bibit-bibit keberanian beliau telah tumbuh sejak beliau kecil lagi. Semasa remaja, beliau sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu seperti yang dianjurkan oleh Syeikh Ahmad Yasin. Kerna itulah beliau dikatakan mewarisi peribadi yang dimiliki oleh Syeikh Ahmad Yasin. Setelah meningkat dewasa, beliau telah menggunakan segala kekuatan rohani dan ketajaman akal serta bakat kepimpinan yang beliau miliki sejak remaja untuk akhirnya membentuk Brigade Izzuddin Al-Qassam. Badan ketenteraan ini dianggotai oleh mujahid-mujahid muda yang tawaduq, paling berani, paling terjaga akhlaknya dan paling ditakuti oleh askar Israel. Oleh kerana kekuatan jihad yang dimiliki oleh brigade ini, ia telah disenaraikan dalam senarai "35 organisasi pengganas" di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Israel pula menganggap beliau lebih radikal daripada Syeikh Ahmad Yasin.
Pada tahun 1984, Sheikh Shalah Syahadah telah ditangkap oleh Israel atas tuduhan mengerakkan aktivis melawan penjajah Zionis. Sejak itu keluar masuk penjara sudah menjadi rutin dalam hidup beliau sehinggalah pada tahun 2000. Hidup dalam penjara tidaklah indah malah lebih memeritkan apabila rakyat Palestin itu dipenjarakan oleh Israel. Mereka akan memperlakukan tahanan dengan sewenang-wenangnya. Tahanan akan diseksa dengan pebagai cara sehingga ada yang mati dan menjadi gila. Sheikh Shalah Syahadah juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kekejaman bangsa Israel ini apabila beliau menjadi tahanan di penjara tersebut. Beliau pernah berkata:

“Tidak sehelai janggut pun milikku yang dibiarkan tumbuh oleh para warden penjara Israel. Mereka menyiksaku dengan mencabutinya, juga mencabut kuku-ku. Dengan izin Allah, aku tidak merasakan sakit sedikitpun,” kisahnya suatu kali. 

Pernah pula selama berminggu-minggu beliau diasingkan di sebuah sel khusus yang begitu sempit dan pendek sehingga berbaring pun ia tak mungkin. Begitu gelapnya sel itu sehingga beliau tidak mampu untuk melihat jari-jarinya sendiri. Biarpun seksaan demi seksaan yang beliau terima, senyuman tidak pernah lekang dari wajah beliau malah mulutnya sentiasa berzikir pada Allah. Kekuatan dalaman yang beliau miliki telah mempengaruhi dan membuatkan para penghuni lain penjara itu tidak lagi gementar dan takut terhadap pegawai penjara sehingga memaksa mereka mengeluarkan beliau dari penjara untuk mengelakkan lebih ramai yang akan terpengaruh dengan ajaran beliau, subhannallah!! Wawasan dan pemikiran serta majlis ilmu khusus tentang kesihatan jiwa adalah sarapan pagi dan hidangan tambahan yang diberikan beliau kepada para tahanan. Walaupun sudah dikeluarkan dari penjara namun beliau tetap menjadi sasaran Israel laknatullah untuk dibunuh sehingga memaksa beliau hidup berpindah-randah.
Sheikh Shalah Syahadah juga telah mempelopori tradisi baru "bom syahid" yang telah menjadi igauan dan mimpi ngeri buat rakyat dan tentera Israel. Selain itu, beliau telah dilabelkan sebagai antara musuh Israel terpenting yang pernah ada di Palestin. Dalam satu wawancara antara beliau dengan wartawan majalah Filistin Al-Muslimah, beliau pernah ditanya apakah perkara yang paling berbahaya yang pernah beliau hadapi sepanjang berjihad membebaskan Palestin. Jawabnya:

"Tidak ada bahaya yang mengancam mujahid selama dia menganggap bahawa kematian adalah tujuan utamanya, wal mautu fii sabilillah asmaa amaaniinaa (Dan kematian di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi). Dengan begitu, cita-cita yang paling tinggi (ini) tidak lagi dianggap sebagai bahaya. Namun bahaya yang hakiki adalah ketika seseorang tidak bisa melakukan...jihad. "

Selain itu, beliau juga ditanya apakah pesan beliau terhadap penjajah Israel, ini jawabnya:


" Terus terang saya katakan, kami bukan haus darah mereka. Namun kami merindukan hari di mana kami tidak melihat mereka di tanah suci Palestin. Kami ingin melihat hari, di mana matahari bersinar terang, sementara Palestin tidak mengalami siksa penjajahan, rakyat Palestin bebas dan hidup terhormat karena tanah miliknya telah kembali. Namun jika mereka tetap kukuh mengangkangi bumi Palestin, maka mereka pun akan menanggung akibat dari setiap darah yang mereka tumpahkan. Kami tidak membunuh anak-anak, wanita dan pemuda mereka. Namun kami ingin mendapatkan kebebasan kami meski mereka telah mengusir kami, meski kami harus membunuh mereka atau kami yang mati demi kebebasan kami. Mereka harus tahu, bahwa setiap titis darah yang mereka tumpahkan tidak akan berlalu begitu saja tanpa ada aksi balasan. Sekali lagi, ada kalanya kami dibantai dan aksi balasan kami terjadi belakangan atau terlambat, namun itu pasti datang. Mereka harus berhati-hati atas segala aksi serangan yang akan kami lakukan, selama mereka tidak menarik diri dari bumi Palestina." 

13 Julai 2002, sebuah kampung dihujani bom dan tembakan oleh pesawat F-16 buatan Amerika yang dipandu oleh tentera Israel Defense Force dan tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk menghapuskan manusia yang paling mengancam kekuatan Israel di bumi Palestin. Satu tan bom dimuntahkan dari perut pesawat sehigga ranap banggunan yang berada di persekitaran kawasan serangan. Serangan turut menghasilkan sebuah  kawah yang amat besar. Akhirnya, Syeikh Syahadah wafat bersama anak-anak dan isterinya. Selain Sheikh Syahadah, 16 orang rakyat Palestin turut terkorban dalam serangan itu.  Kematian Syekh Syahadah disebut oleh Perdana Menteri Israel saat itu, Ariel Sharon, sebagai, ”satu dari sebuah kesuksesan besar yang diraih oleh Zionis.”

Begitulah berakhirnya kisah pejuang dan syuhada' hebat Palestin Sheikh Shalah Syahadah. Walaupun kini sudah lebih sepuluh tahun berlalu namun beliau masih lagi dikenang sebagai salah seorang rakyat Palestin yang paling berpengaruh dan mampu menggentarkan hati para Israel laknatullah. Walaupun namanya tidaklah begitu dikenali seperti Syeikh Ahmad Yasin & Dr.Abdul Aziz Al-Rantisi namun anda harus tahu bahawa lelaki inilah antara penggerak kekuatan rakyat Palestin hari ini untuk terus menuntut keamanan yang seharusnya menjadi milik mereka. Sama-samalah kita berdoa agar suatu hari nanti Palestin akan mampu untuk dibebaskan dan kita semua mampu untuk masuk ke Masjidil Aqsa dan bersolat dengan tenang di dalamnya. PRAY FOR PALESTIN, PRAY FOR FREEDOM!!! ALLAHUAKBAR!! Terima kasih kerana membaca, wallahua'lam. ツ

Makam Sheikh Shalah Syahadah.

March 14, 2013

CINTA HIGH CLASS!!

CINTA HIGH CLASS!!





Assalamualaikum dan salam sejahtera, entri kali ini aku tulis khas untuk seorang sahabatku yang baru saja frust selepas wanita yang dia suka buat keputusan nekad untuk terima lamaran lelaki lain. Kesian jugak aku tengok dia sampai dua tiga hari tak lalu nak jamah nasi memikirkan apalah malang nasibnya yang rasa seperti dipermainkan oleh wanita itu. Dia cakap dia pelik betul dengan perempuan zaman sekarang ni yang tak sabar-sabar nak kahwin awal. Kemudian dia salahkan lambakan filem-filem dan drama cinta yang bercorak islamik yang banyak dimainkan di televisyen sekarang. Itu belum termasuk post-post di facebook yang jiwang-jiwang namun kononnya Islamik. Tidak dinafikan sekarang ini ramai yang sudah sedar mengenai hukum haramnya couple sebelum nikah dan pastinya ramai yang mengharapkan cinta high class. Kerana itulah munculnya benda-benda macam ni kan:

"Wahai pemilik rusuk kiriku adakah engkau sedang memikirkan tentang diriku..."
"Duhai mujahidku, mujahidahmu sedang menanti di sini"
"Nak solat tahajud bersama-sama isteri nanti..."
"Wahai bakal suamiku, aku sedang mengupgrade diriku di sini, bagaimana dengan dirimu?"

Aku sendiri tak pasti adakah perkara ini wajar untuk dibincangkan kerana ia mungkin menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu namun hakikatnya jodoh itu rahsia Allah dan hanya Dia yang tahu dengan siapa kita akan mengharungi sisa hidup kita nanti. Tidak salah untuk berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik namun tidak perlulah sampai nak post ayat-ayat jiwang seperti yang tertera di atas dan yang seangkatan dengannya. Kun fayakun, apabila Allah berkata jadilah engkau, maka jadilah. Berpeganglah dengan hakikat ini, sekiranya Allah mengkehendaki adanya jodoh untuk kita, pasti kita akan dipertemukan dengannya suatu hari nanti dengan cara yang tidak kita sangka-sangka.
Walaupun hubungan telah lama dibina namun jika Allah mentakdirkan tiada jodoh maka terimalah dengan reda dan bersangka baiklah denganNya kerana mungkin Dia sedang mempersiapkan seseorang yang lebih baik untuk kita. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 26:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Berdasarkan ayat firman Allah di atas, sebelum kita bertemu dengan si dia yang ditakdirkan untuk kita, apa kata kita sendiri muhasabah diri kita, adakah kita ini layak untuk menjadi seorang suami atau isteri yang baik jika kita menikah nanti? Jika merasakan masih lagi belum layak maka timbalah dahulu ilmu duniawi dan ukhrawi sebanyak mungkin agar tidak timbul masalah dalam rumah tangga nanti. Banyak kes perceraian terjadi akhir-akhir ini kerana kejahilan si suami yang cetek ilmunya misalnya dalam kes melafaskan talak dan sebagainya.
Untuk kaum hawa, lelaki sempurna yang anda dambakan seperti di gambar-gambar jiwang islamik yang anda post di laman sesawang facebook bukan mudah untuk dicari dan sekiranya anda mengharapkan lelaki seperti ini untuk muncul dalam hidup anda mungkin anda mengambil masa yang lama untuk berumahtangga.
Untuk si adam, janganlah pula anda berasa kecil hati dan rasa rendah diri sekiranya anda terbaca post-post dari kaum hawa ini yang mengharapkan seorang mujahid akan muncul dalam hidup mereka. Perkasakanlah diri dengan ilmu sebanyak yang anda mampu dan insyaAllah jika jodoh anda akan muncul suatu hari nanti, anda mampu menjadi imam yang baik untuknya. Baiklah sebelum aku tamatkan entri kali ini marik kita ikuti dulu sketsa di bawah:

Fatimah: "Wahai bakal imamku, apakah yang sedang engkau lakukan sekarang ini? Adakah kau juga sedang menunggu waktu terbenamnya mentari di ufuk barat agar kita boleh berjemaah bersama nanti? Adakah engkau sudah bersedia untuk mengimamkan solat kita nanti? Adakah kau...aduh..aduh!!
Fatimah merasakan seperti telinganya dipulas.
Mak: Tunggu bakal imam ye...cepat ambik air sembahyang, mak pun boleh jadi imam kamu hari ni, cepat!! Orang dari tadi tunggu dia nak berjemaah dia boleh pulak berangan kat sini!!
Fatimah: Err..mak...yela..yela....

Hahaha!! No offense ya!! Aku memang hancur bab tulis jiwang-jiwang ni, sekian, terima kasih kerana membaca, wallahua'lam.




March 3, 2013

Bakti Kita Sebagai Anak.

Bakti Kita Sebagai Anak

Assalamualaikum, sebelum aku memulakan coretan aku pada hari ni, mari kita ikuti kisah di bawah ini terlebih dahulu:

Hassan berlari dengan riang menuju ke rumahnya setelah pulang dari sekolah. Ada sesuatu yang mahu diceritakan kepada ibunya tentang pelajaran di sekolah hari ini. Sampai di rumah, dia terus berlari mendapatkan ibunya yang sedang memasak di dapur.

Hassan : Ibu, hari ni Hassan belajar benda baru dekat sekolah. Ustazah kata kalau kita belajar buat benda ni betul-betul nanti Allah, Nabi, mak dan ayah akan sayang sangat pada Hassan.

Ibu : Apa yang Hassan belajar ni, macam menarik je bunyinya, cuba cerita pada ibu boleh tak?

Hassan : Hassan belajar pasal menguruskan jenazah. Hassan baru belajar sikit tapi Hassan sangat suka dengan pelajaran tu ibu. Nanti lama-lama bila ibu dengan ayah dah mati, Hassan boleh tolong uruskan mayat ibu dengan ayah. Hassan nak jadi anak sol...

Pang!!... satu tamparan hinggap di pipi comel Hassan sebelum sempat dia mengakhiri kata-katanya itu.
Pipinya terasa pedih dan panas. Dia tidak menyangka bahawa ibunya akan bertindak sedemikian rupa
padanya.

Ibu : Anak kurang ajar, kau minta aku dengan ayah kau mati cepat ea. Baru sepuluh tahun dah nak jadi anak derhaka?? Nanti aku jumpa ustazah kau aku tanya dia apa yang dia dah ajarkan pada semua anak murid dia!! Kalau aku mati siapa nak jaga kau haa?? Sudah pergi dari sini, aku nak masak, huh!!


Hasaan berlari laju meninggalkan ibunya di dapur. Dia tidak menyangka pelajarannya di sekolah bakal mengundang amarah ibunya. Mulai hari itu dia bertekad bahawa apa sahaja pelajaran yang berkaitan dengan pengurusan jenazah tidak lagi akan dia ambil peduli kerana dia takut bahawa ibunya akan memarahinya sekali lagi.


Sudah selesai membaca kisah di atas? Begitulah sikap segelintir masyarakat kita yang terlalu takut pada kematian dan masih jahil tentang hukum pengurusan jenazah. Hassan pada mulanya berniat baik kerana dia bertekad untuk mempelajari cara pengurusan jenazah kerana dia beranggapan bahawa pada suatu hari nanti dia akan mampu untuk menguruskan jenazah kedua orang tuanya. Namun sayang, hasrat murninya itu ditingkah hebat oleh fikiran jumud ibunya yang beranggapan bahawa Hassan mengharapkan dia cepat menemui ajal.
Hukum menguruskan jenazah adalah fardhu kifayah dan cukup jika ada segelintir orang dalam sesuatu kawasan itu mengetahui cara dan melaksanakannya. Namun jika yang meninggal itu adalah ibu bapa kita sendiri, adakah wajar kita meminta orang lain yang menguruskan jenazah mereka? Bila berlaku kematian, kita mulai panik dan tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan mayat. Satu sahaja perkara yang terlintas dalam fikiran ketika itu adalah telefon tok imam mintak tolong dia uruskan mayat mak atau ayah kita. Adakah ini wajar sebenarnya? TIDAK!! Seharusnya kita sendiri yang menguruskan mayat mereka sebagai bakti terakhir yang mampu kita lakukan atas jasa mereka membesarkan kita selama ini.
Ada satu kisah sedih di mana seorang imam dipanggil untuk menguruskan mayat seorang lelaki tua yang meninggal dunia. Sampai di rumah si mati, tok imam melihat anak-anak si mati sedang bersembang di luar rumah. Daripada dalam rumah terdengar pula bacaan ayat-ayat surah Yaasin berkumandang. Anak-anak si mati menyuruh tok imam masuk dahulu dengan alasan mereka akan menyusul kemudian. Setelah masuk ke dalam rumah alangkah terkejutnya imam tersebut kerana melihat si mati yang dibiarkan terbujur kaku tanpa ditutup oleh kain. Lebih menyedihkan bacaan Yaasin yang kedengaran merdu dari dalam rumah tadi hanyalah bacaan dari kaset yang dimainkan menerusi radio yang diletakkan di sebelah mayat.
Dalam hal ini siapakah yang harus dipersalahkan? Si anak atau si mati? Hanya Allah yang lebih mengetahui. Kita sebagai anak haruslah mempelajari cara pengurusan jenazah kerana kitalah yang seharusnya menguruskan jenazah ibu bapa kita suatu hari nanti. Berikut adalah faktor mengapa kita sendiri harus melakukan tugas fardhu kifayah tersebut:


  • Aib mayat akan terpelihara kerana tidak mungkin ada anak yang sanggup menceritakan keburukkan yang ada pada tubuh mayat ayah atau ibunya.
  • Mayat tidak akan terseksa kerana diperlakukan dengan kasar oleh mereka yang tidak mengenalinya. Sekiranya si anak yang melakukan sudah pasti dia akan melakukan dengan penuh kelembutan sebagai tanda kasih dan cinta terhadap orang tuanya itu.
  • Doa anak yang soleh akan mudah diterima oleh Allah terutamanya ketika dia menjadi imam kepada solat jenazah orang tuanya. Tidak mungkin pada masa seperti itu Allah akan menolak doa anak yang mengharapkan kesejahteraan orang tuanya yang baru berangkat ke alam barzakh.
  • Untuk mengelakkan kita dianggap anak derhaka. Ketahuilah bahawa sebenarnya tugas kita sebagai anak bukan sahaja sehingga ibu bapa kita mati namun ia adalah tugas sepanjang hayat kita. Anak yang tidak mendoakan ibu bapanya terutamanya selepas mereka meninggal dunia boleh dianggap anak derhaka.


Dalam hal mempelajari pengurusan jenazah ini, seharusnya kita harus lebih bersikap terbuka dan tidak berfikiran jumud mengatakan bahawa kematian itu suatu perkara yang tiak patut dibincangkan. Sabda Nabi Muhammad saw:


Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Begitulah yang mampu aku coretkan dalam entri kali ini. Semoga ia bermanfaat dan mampu membantu kita lebih bermotivasi untuk mempelajari teknik pengurusan jenazah kerana ia bukan hanya sangat membantu kita apabila ibu bapa tiada kelak malah ia juga akan menjadikan kita lebih banyak mengingati kematian yang bakal menjemput entah esok atau lusa sahaja. Syukran jazilan kerana membaca, wallahua'lam.







The ET Smileys - Complete List:


smile:)
laugh:D
lol:O
rotfl:r
sad:(
wink;)
tongue:P
straight:|
blush:$
kiss:k
angry:@
love:L
devil:v
daydream:d
sweat:f
cry:c
wow:o
sick:~
nerd8|
cool8)
bow:b
dance:e
inverted:i
hug:h
confused:/
laughxD
smile^_^
stunnedo_O
muahaha:vD
straight:||
deadxP
frustrated>.<
et!:et
rock on\m/
heart<3
broken<\3

angel:angel
raise brow:brow
party:party
on fire:fire
frozen:ice
musical note:tone
rainbow:rainbow

vote up:tup
vote down:tdown
star:star
robot:robot
kitten:kitten
MJ:mj

Labels

Aku (13) Buku (3) carta (1) contest (1) Filem (1) jiwang (3) kenangan (1) Lawak (1) Manga (2) Motivasi (2) PALESTIN (3) Projek Manga (7) rohani (16) umum (5)