Jangan Dibuka Aibnya!!!!
Assalamualaikum, alhamdulillah kerana diri ini masih lagi diberi kesempatan olehNya untuk menyiapkan entri pertama pada bulan Mei ini setelah hampir sebulan terbiar sepi. Terlalu banyak halangan dan rintangan untuk aku terus meneruskan penulisan dalam blog aku ini disebabkan oleh kesibukkan hidup di alam kampus yang bernama UNIMAS. Bila masuk musim pilihanraya ni, ramailah yang bersemangat perjuangkan parti masing-masing. Masing-masing tampil dengan ideologi dan janji-janji yang tersendiri untuk mengambil hati rakyat demi meraih undi. Tak kurang juga yang mengunakan pelbagai taktik nak menjatuhkan lawan masing-masing. Kebelakangan ini, amalan politik fitnah dan lucah seakan sudah menjadi kebiasaan dalam parti-parti politik di Malaysia ni. Aku bukanlah nak menyebelahi mana-mana pihak tapi perkara ni sedikit sebanyak sebenarnya bagi aku dah mencemarkan nama baik negara kita di mata dunia yang lazimnya mengenali negara kita sebagai negara yang menjunjung tinggi agama Islam. Budaya politik tak sihat ini telah menular beberapa tahun kebelakangan ini dan jika dibiarkan mungkin akan lebih parah.
Tujuan aku tulis entri hari ni bukanlah nak bercerita soal politik sebenarnya. Tak kiralah dalam perkara apa sekalipun seperti politik, bola dan perniagaan pasti akan timbul permusuhan dan rasa nak menjatuhkan lawan kita. Benar, persaingan itu sihat tapi jika nak bersaing biarlah kena pada caranya. Bukankah matlamat itu tak menghalalkan cara. Ada cara untuk kita mengalahkan lawan kita tapi bukan dengan cara memfitnah atau membuka aib seseorang itu. Memang betul setiap orang ada masa silam dan semua orang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dalam hidup mereka sama ada kesilapan itu kecil ataupun besar. Kesilapan inilah yang kerap kali dijadikan modal untuk menjatuhkan seseorang itu. Bukan itu sahaja, kesalahan itu pula ditokok tambah agar ia menjadi lebih buruk lagi di mata orang ramai. Siapakah yang memberikan kita hak untuk menceritakan aib tentang orang lain? Hayati dahulu kisah di bawah ini dan kemudian nilai sendiri apa hak anda untuk membuka aib orang lain:
Kisah ini terjadi pada zaman Nabi Musa. Ditakdirkan oleh Allah, berlaku musim kemarau yang cukup lama sehingga banyak tanaman dan haiwan ternakan yang mati. Kaum bani Israel tidak lagi merasa tahan dengan kemarau yang berlaku lalu meminta Nabi Musa berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Nabi Musa pun membawa mereka semua ke sebuah padang yang luas lalu Nabi Musa pun berdoa kepada Allah agar menurunkan hujan kepada mereka. Lalu Allah pun berkata kepada Nabi Musa, Dia tidak menurunkan hujan kerana di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah melakukan dosa selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat kepadaNya. Mendengar perkara ini Nabi Musa pun berkata kepada kaumnya, "di kalangan kamu ada orang yang telah melakukan dosa kepada Allah selama 40 tahun, kerana itulah Dia tidak menurunkan hujan. Tunjukkanlah dirimu agar kami tahu siapa kamu." Di kalangan ramai orang itu, ada lelaki yang sedang keluh-kesah memikirkan nasib dirinya. Dia melihat ke kiri dan kanan dengan harapan agar ada orang lain yang akan mengaku kesalahan mereka namun tiada seorang pun yang tampil ke hadapan. Dia berasa takut untuk mengaku kesalahannya kerana khuatir orang ramai akan marah dan berasa jijik terhadapnya. Lalu dia pun berdoa dalam hatinya agar Allah mengampunkan kesalahan dirinya dan dia pun bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba hujan pun turun. Melihat perkara itu terjadi Nabi Musa merasa hairan dan bertanya pada Allah, "Ya Allah, mengapa Engkau tiba-tiba menurunkan hujan sedangkan orang yang berdosa itu belum pun menunjukkan dirinya kepada kami semua?" Lalu Allah pun berkata bahawa sebenarnya orang itu telah pun bertaubat kepadaNya sebentar tadi. Lalu Nabi Musa pun meminta agar Allah menunjukkan kepada mereka siapakah lelaki tersebut. Allah pun berkata, "Sedangkan aibnya pun Aku tutup dari pandangan manusia semasa dia melakukan dosa, apakah Aku akan membuka aibnya sesudah dia bertaubat kepadaKu?"
Berdasarkan kisah ini apakah yang mampu korang fikirkan tentang hak korang untuk membuka aib orang lain? Sedangkan Allah juga menutup aib hambaNya, apakah kita mempunyai kuasa melebihiNya untuk menceritakan tentang keburukkan orang lain? Fikir-fikirkanlah, apabila kita mengata orang lain, perkara yang betul itu mengumpat, yang tidak betul itu fitnah, mana-mana pun dapat dosa...termasuklah orang yang mendengar..dah la berdosa besar pulak tuu...berani ke makan daging saudara sendiri? Firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 49:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Ingatlah kawan-kawan, mengumpat atau membuka aib orang lain termasuk dalam sifat-sifat keji yang dikeji dalam Islam. Perbuatan ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa benci antara satu sama lain malah lebih parah lagi, ia akan memecah-belahkan masyarakat. Kalau buka facebook tu, cuba kita postkan benda-benda yang baik dan kalau boleh tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Jangan ikut sedap hati je tulis dan hentam orang lain. Bayangkanlah jika kita post sesuatu yang boleh menyakitkan hati banyak pihak, berapa banyak dosa free kita dapat, selagi kita tak delete post tu, selagi itulah kita berdosa. Jadi, berfikirlah sebelum kita tulis sesuatu agar tidak ada pihak yang akan tersinggung dengan apa yang kita tulis tu. Sekian, itu sahajalah entri aku untuk kali ini. Ambillah mana-mana yang baik darinya, sekiranya ada yang tersinggung dengan entri ni, "I'm sorry..." sambil buat muka duck face. Sebelum aku akhiri entri kali ini baca dahulu komik di bawah ini..ini bukan karya aku sebenarnya, jumpa di internet namun amat bermanfaat. XD Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment