THE BEST GUARDIAN AND PROTECTOR IS ONLY ALLAH
Banner created with MyBannerMaker.com

Pages

Check This Out!!

May 9, 2013

Erti Sebuah Kedamaian

Erti Sebuah Kedamaian




Assalamualaikum dan salam sejahtera, selamat berjumpa lagi dalam entri terbaru aku kali ini. Sekarang sudah pun berlalu demam pilihanraya di Malaysia dan syukur alhamdulillah pilihanraya kali ini masih berlangsung dengan aman dan damai tanpa berlakunya pertumpahan darah. Jarang kita dapat dengar mana-mana negara di dunia ini yang dapat jalankan pilihanraya mereka dengan aman tanpa melibatkan kehilangan nyawa. Paling kurang pun pasti  akan ada berlakunya kes tembakan mahupun letupan. Justeru bersyukurlah kita berjaya melepasi fasa yang paling genting dalam negara kita itu dengan jayanya. Kepada yang tak berjaya dalam PRU kali ni, boleh cuba lagi pada masa akan datang, kepada yang berjaya, aku mohon perintahlah negara kita ini dengan adil dan saksama dan laksanakanlah manifesto anda kerana slogan anda "Janji Ditepati" kan? XD

Entri kali ini aku nak bercerita pasal kedamaian....so boring kan? Hahaha!! Inilah idea yang mampu aku fikirkan dalam masa seminggu ni, harap dapat kongsilah dengan korang semua. Kita sering kali membaca kisah penderitaan rakyat Palestin. Bagaimana hak mereka dicabuli, bagaimana mereka diseksa dan sebagainya. Banyak gambar-gambar yang memaparkan kesusahan hidup mereka di sana yang mampu kita tatap tidak kiralah di internet, akhbar mahupun televisyen. Namun pernahkah anda melihat gambar mereka tersenyum walaupun sedang menanggung derita yang amat dahsyat di sana? Pernahkan anda melihat gambar-gambar anak Palestin bergelak-ketawa di sebalik keperitan hidup mereka? Bagaimana mereka mampu melakukan semua itu sedangkan lahir-lahir sahaja ke dunia ini mereka sudah terlibat dalam kancah peperangan malahan ada yang sudah kehilangan ibu bapa ketika usia masih lagi mentah untuk mengenali dunia ini? Simpan dahulu jawapan anda, kita teruskan dengan cerita kedamaian di sebalik penderitaan ini dahulu.



Masihkan anda ingat dengan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun 2011? Gempa bumi yang melanda Jepun berukuran 8.9 magnitud pada skala ritcher itu telah menyebabkan berlakunya tsunami setinggi empat meter dan menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan berdekatan perairan dekat pusat gempa. Disahkan bahawa 15,845 orang maut dalam bencana itu manakala 6,011 yang lain pula cedera. Beberapa hari selepas bencana tsunami dan gempa bumi itu, dunia dikejutkan lagi dengan kebocoran radiasi di sebuah loji nuklear di kawasan Fukushima. Jepun ketika itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga dan seperti tidak mampu untuk diselamatkan lagi. Namun sangkaan dunia itu sebenarnya meleset sama sekali. Hanya dalam masa setahun selepas bencana itu, Jepun bangkit dan kembali menjadi kuasa besar dunia. Bagaimana ini boleh berlaku walaupun mereka sudah ditimpakan dengan bencana yang hebat ini? Tidakkah mereka tersungkur dengan kedamaian mereka yang diragut dalam masa sekelip mata?




Korang inginkan jawapan bagaimana mereka mampu menghadapi semua ini dengan begitu tabah sekali? Jawapannya ada tersingkap dalam kisah di bawah:

Seorang raja mengadakan satu pertandingan melukis untuk rakyat jelatanya. Tema yang diberikan untuk pertandingan melukis itu adalah lukisan kedamaian. Ramai seniman dan para pelukis dari seluruh pelusuk negeri tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut kerana raja menawarkan hadiah yang lumayan kepada pemenangnya. Tiba hari pertandingan, raja pun berkeliling untuk melihat lukisan-lukisan mereka namun dalam ramai-ramai itu hanya dua lukisan yang mampu menarik perhatiannya. Namun, raja harus memilih hanya satu pemenang antara dua orang pelukis tersebut. Lukisan pertama menggambarkan sebuah telaga yang tenang. Permukaan telaga bagaikan sebuah cermin yang sempurna yang memantulkan keindahan gunung-ganang yang gagah berdiri di sekitarnya. Di atasnya terdapat awan putih yang berarak-arak. Sekali pandang memang tidak salah lagi untuk memilih lukisan itu sebagai lukisan yang menggambarkan sebuah kedamaian sebenar. Bagi lukisan kedua pula, landskapnya lebih kurang sama dengan lukisan pertama tadi. Masih lagi berlatar-belakangkan sebuah kawasan pergunungan. Namun pergunungan kali ini tidak memliki keindahan seperti yang pertama tadi kerana gunung ini adalah sebuah gunung yang gondol dan tampak kasar. Di atasnya pula terdapat awan yang gelap dan menandakan hujan lebat bakal turun tidak lama lagi dan kilat turut sabung-menyabung. Di sisi gunung ada sebuah air terjun deras yang berbuih-buih yang sekaligus menambahkan lagi kekalutan dalam lukisan tersebut dan tidak sedikitpun menggambarkan kedamaian dalamnya. Tetapi ada sesuatu dalam lukisan itu yang menarik perhatian sang raja. Di sebalik air terjun itu terdapat semak-semak kecil tumbuh di celah-celah batu. Di dalam semak-semak itulah, kelihatan seekor burung pipit meletakkan sarangnya. Raja berasa amat teruja dengan situasi tersebut. Beliau berasa amat kagum kerana di sebalik riuh-rendahnya bunyi air terjun, langit yang membawa alamat bahawa sebentar lagi akan menurunkan hujan yang lebat di samping kilat yang sambar-menyambar, ibu burung pipit itu mampu duduk dengan tenang untuk mengerami telur-telurnya di dalam sarang tersebut tanpa rasa terganggu sedikitpun dengan situasi di sekelilingnya. Justeru lukisan yang manakah menjadi pilihan raja tersebut? Korang rasa raja memilih lukisan yang kedua? Jika itu jawapan korang, tahniah kerana jawapan korang dengan raja itu 100% sama. Apabila ditanya, mengapakah baginda memilih lukisan yang kedua itu, baginda menjawab bahawa " Kedamaian itu tidak semestinya kita berada di tempat yang tenang dan tanpa kekacauan di sekeling kita. Kedamaian itu sebenarnya adalah hati yang tenang dan damai meskipun anda berada di tengah-tengah keributan yang luar-biasa dahsyatnya."

Berdasarkan kisah di atas ini dapatkah anda simpulkan mengapa rakyat Palestin dan Jepun dapat menghadapi musibah yang melanda mereka dengan begitu tenang sekali? Benar, mereka mungkin pernah tersungkur dalam menghadapi segala dugaan ini namun mereka tidak pernah tenggelam dan hanyut bersamanya. Mereka tetap berasa tenang dan melalui semua ini sebagai sesuatu yang akan membuatkan mereka bangkit semula dengan lebih maju lagi pada masa hadapan. Jawapan bagi persoalan bagaimana mereka melakukannya adalah kerana mereka mempunyai sekeping hati yang tenang yang mampu mendamaikan situasi di sekeliling mereka, sama seperti burung di dalam sarangnya itu tadi yang tidak terganggu pun dengan persekitarannya. Bagaimana pula kita yakni rakyat Malaysia? Adakah kita sudah bersedia untuk diuji dengan musibah yang disediakan oleh Tuhan untuk kita? Tepuk dada tanya iman, adakah kita sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengannya. Jika tidak, maka bersyukurlah kerana negara kita masih lagi bebas dari belenggu peperangan dan bencana alam yang mungkin bila-bila masa sahaja boleh Tuhan kirim untuk menguji keimanan kita semua. Akhir kalam, aku tinggalkan korang dengan satu lukisan untuk buat korang berfikir, apakah cara terbaik untuk kita cari kedamaian di hati walaupun ketika itu peluang buat kita terlepas dari masalah itu amatlah kecil, selamat mencuba dan terima kasih kerana membaca, jumpa lagi, insyaAllah, wallahua'lam.


Renung-renungkan dan selamat beramal. ^_^







May 3, 2013

Jangan Dibuka Aibnya!!!!

Jangan Dibuka Aibnya!!!!



Assalamualaikum, alhamdulillah kerana diri ini masih lagi diberi kesempatan olehNya untuk menyiapkan entri pertama pada bulan Mei ini setelah hampir sebulan terbiar sepi. Terlalu banyak halangan dan rintangan untuk aku terus meneruskan penulisan dalam blog aku ini disebabkan oleh kesibukkan hidup di alam kampus yang bernama UNIMAS. Bila masuk musim pilihanraya ni, ramailah yang bersemangat perjuangkan parti masing-masing. Masing-masing tampil dengan ideologi dan janji-janji yang tersendiri  untuk mengambil hati rakyat demi meraih undi. Tak kurang juga yang mengunakan pelbagai taktik nak menjatuhkan lawan masing-masing. Kebelakangan ini, amalan politik fitnah dan lucah seakan sudah menjadi kebiasaan dalam parti-parti politik di Malaysia ni. Aku bukanlah nak menyebelahi mana-mana pihak tapi perkara ni sedikit sebanyak sebenarnya bagi aku dah mencemarkan nama baik negara kita di mata dunia yang lazimnya mengenali negara kita sebagai negara yang menjunjung tinggi agama Islam. Budaya politik tak sihat ini telah menular beberapa tahun kebelakangan ini dan jika dibiarkan mungkin akan lebih parah.

Tujuan aku tulis entri hari ni bukanlah nak bercerita soal politik sebenarnya. Tak kiralah dalam perkara apa sekalipun seperti politik, bola dan perniagaan pasti akan timbul permusuhan dan rasa nak menjatuhkan lawan kita. Benar, persaingan itu sihat tapi jika nak bersaing biarlah kena pada caranya. Bukankah matlamat itu tak menghalalkan cara. Ada cara untuk kita mengalahkan lawan kita tapi bukan dengan cara memfitnah atau membuka aib seseorang itu. Memang betul setiap orang ada masa silam dan semua orang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan dalam hidup mereka sama ada kesilapan itu kecil ataupun besar. Kesilapan inilah yang kerap kali dijadikan modal untuk menjatuhkan seseorang itu. Bukan itu sahaja, kesalahan itu pula ditokok tambah agar ia menjadi lebih buruk lagi di mata orang ramai. Siapakah yang memberikan kita hak untuk menceritakan aib tentang orang lain? Hayati dahulu kisah di bawah ini dan kemudian nilai sendiri apa hak anda untuk membuka aib orang lain:

Kisah ini terjadi pada zaman Nabi Musa. Ditakdirkan oleh Allah, berlaku musim kemarau yang cukup lama sehingga banyak tanaman dan haiwan ternakan yang mati. Kaum bani Israel tidak lagi merasa tahan dengan kemarau yang berlaku lalu meminta Nabi Musa berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Nabi Musa pun membawa mereka semua ke sebuah padang yang luas lalu Nabi Musa pun berdoa kepada Allah agar menurunkan hujan kepada mereka. Lalu Allah pun berkata kepada Nabi Musa, Dia tidak menurunkan hujan kerana di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah melakukan dosa selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat kepadaNya. Mendengar perkara ini Nabi Musa pun berkata kepada kaumnya, "di kalangan kamu ada orang yang telah melakukan dosa kepada Allah selama 40 tahun, kerana itulah Dia tidak menurunkan hujan. Tunjukkanlah dirimu agar kami tahu siapa kamu." Di kalangan ramai orang itu, ada lelaki yang sedang keluh-kesah memikirkan nasib dirinya. Dia melihat ke kiri dan kanan dengan harapan agar ada orang lain yang akan mengaku kesalahan mereka namun tiada seorang pun yang tampil ke hadapan. Dia berasa takut untuk mengaku kesalahannya kerana khuatir orang ramai akan marah dan berasa jijik terhadapnya. Lalu dia pun berdoa dalam hatinya agar Allah mengampunkan kesalahan dirinya dan dia pun bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba hujan pun turun. Melihat perkara itu terjadi Nabi Musa merasa hairan dan bertanya pada Allah, "Ya Allah, mengapa Engkau tiba-tiba menurunkan hujan sedangkan orang yang berdosa itu belum pun menunjukkan dirinya kepada kami semua?" Lalu Allah pun berkata bahawa sebenarnya orang itu telah pun bertaubat kepadaNya sebentar tadi. Lalu Nabi Musa pun meminta agar Allah menunjukkan kepada mereka siapakah lelaki tersebut. Allah pun berkata, "Sedangkan aibnya pun Aku tutup dari pandangan manusia semasa dia melakukan dosa, apakah Aku akan membuka aibnya sesudah dia bertaubat kepadaKu?"

Berdasarkan kisah ini apakah yang mampu korang fikirkan tentang hak korang untuk membuka aib orang lain? Sedangkan Allah juga menutup aib hambaNya, apakah kita mempunyai kuasa melebihiNya untuk menceritakan tentang keburukkan orang lain? Fikir-fikirkanlah, apabila kita mengata orang lain, perkara yang betul itu mengumpat, yang tidak betul itu fitnah, mana-mana pun dapat dosa...termasuklah orang yang mendengar..dah la berdosa besar pulak tuu...berani ke makan daging saudara sendiri? Firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 49:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ingatlah kawan-kawan, mengumpat atau membuka aib orang lain termasuk dalam sifat-sifat keji yang dikeji dalam Islam. Perbuatan ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa benci antara satu sama lain malah lebih parah lagi, ia akan memecah-belahkan masyarakat. Kalau buka facebook tu, cuba kita postkan benda-benda yang baik dan kalau boleh tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Jangan ikut sedap hati je tulis dan hentam orang lain. Bayangkanlah jika kita post sesuatu yang boleh menyakitkan hati banyak pihak, berapa banyak dosa free kita dapat, selagi kita tak delete post tu, selagi itulah kita berdosa. Jadi, berfikirlah sebelum kita tulis sesuatu agar tidak ada pihak yang akan tersinggung dengan apa yang kita tulis tu. Sekian, itu sahajalah entri aku untuk kali ini. Ambillah mana-mana yang baik darinya, sekiranya ada yang tersinggung dengan entri ni, "I'm sorry..." sambil buat muka duck face. Sebelum aku akhiri entri kali ini baca dahulu komik di bawah ini..ini bukan karya aku sebenarnya, jumpa di internet namun amat bermanfaat. XD Wallahua'lam.






The ET Smileys - Complete List:


smile:)
laugh:D
lol:O
rotfl:r
sad:(
wink;)
tongue:P
straight:|
blush:$
kiss:k
angry:@
love:L
devil:v
daydream:d
sweat:f
cry:c
wow:o
sick:~
nerd8|
cool8)
bow:b
dance:e
inverted:i
hug:h
confused:/
laughxD
smile^_^
stunnedo_O
muahaha:vD
straight:||
deadxP
frustrated>.<
et!:et
rock on\m/
heart<3
broken<\3

angel:angel
raise brow:brow
party:party
on fire:fire
frozen:ice
musical note:tone
rainbow:rainbow

vote up:tup
vote down:tdown
star:star
robot:robot
kitten:kitten
MJ:mj

Labels

Aku (13) Buku (3) carta (1) contest (1) Filem (1) jiwang (3) kenangan (1) Lawak (1) Manga (2) Motivasi (2) PALESTIN (3) Projek Manga (7) rohani (16) umum (5)